Antara pengalaman menarik jika anda menelusuri sungai di Kampung Kuala Sat adalah anda bakal berpeluang melihat secara dekat dan mengenali penduduk Orang Asli etnik Batek yang menjadi masyarakat minoriti di Jerantut, Pahang.

Anda berpeluang melawat ke penempatan mereka yang kaya dengan adat resam serta kesenian yang diwarisi turun-menurun dan masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Uniknya Orang Asli Batek di sini ialah mereka juga masih mengamalkan konsep nomad atau berpindah randah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Malah masyarakat minoriti ini yang cukup sinonim dengan penempatan dikelilingi alam semula jadi itu juga, hanya boleh ditemui di 3 buah negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.