𝐓𝐑𝐈𝐕𝐈𝐀 𝐏𝐑𝐈𝐍𝐒𝐈𝐏 𝐑𝐔𝐊𝐔𝐍 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀
Sejak di bangku sekolah, kita telah didedahkan untuk mengenal dan berikrar dengan lima Prinsip Rukun Negara. Masihkah anda ingat, semua murid perlu mengangkat ikrar dengan bersemangat ketika perhimpunan sekolah.
Maka kami rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:-
- Kepercayaan kepada Tuhan
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-Undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Tahukah anda, Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Yang di-Pertuan Agong IV pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara. Ia lahir hasil perbincangan dan kajian Majlis Perundingan Negara setelah merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan.
Rukun Negara diwujudkan rentetan daripada peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah membuka mata dan menyedarkan kita semua, betapa peri pentingnya bersatu padu dan hidup dengan aman dan damai serta menghindari sifat curiga mencurigai antara satu sama lain.
Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, muhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling hormat menghormati. Melalui perpaduan yang mampan akan dapat membantu negara mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi daya saing pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang demokratik berlandaskan acuan yang termaktub dalam Rukun Negara.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿: 𝗝𝗮𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮, 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝗸𝗮𝘀𝗶 𝗞𝗼𝗿𝗽𝗼𝗿𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶