KAMPUNG BATU EMBUN
Mengikut sejarahnya, nama kampung ini diambil sempena nama sebiji batu yang besarnya kurang 400 - 500 cm, yang suatu ketika dahulu terletak di dalam kawasan paya. Mengikut cerita, penduduk yang tinggal berhampiran sekitar 200 - 300 meter tidak dapat membezakan antara waktu pagi dengan petang kerana kawasan tersebut sentiasa diselubungi embun seperti embun pagi.
Mengikut cerita, konon pada satu hari ketika panas terik tengah hari hujan telah turun dengan lebatnya, menyebabkan keadaan disekeliling amat gelap seperti malam. Setelah hujan berhenti dan keadaan kembali cerah, penduduk dikawasan itu gempar kerana batu tersebut telah hilang dan embun yang sentiasa wujud dikawasan itu juga hilang. Setelah diselidik dikawasan tersebut terdapat kesan seperti lurah yang terus menghala ke sungai pahang.
Apabila mereka menjejaki kesan lurah tersebut didapati batu itu telah pun berpindah ke Sungai Pahang sehingga ke hari ini. Disebabkan keganjilan tersebut dan kampung ini belum mendapatkan nama, maka penduduk kampung menamakan kampung mereka dengan nama Kampung Batu Embun. Dari kisah tersebut nama kampung tersebut masih kekal digunakan hingga ke hari ini.
Kampung Batu Embun adalah yang paling hampir dengan bandar, iaitu kira-kira 4 km dan merupakan jalan utama menghubungkan Bandar Jerantut dengan Kuala Tembeling (pintu masuk ke Taman Negara melalui pengangkutan air).