Pastinya anda merasa pelik apabila nama laksa Pahang disebut – sebut. Biasanya kita hanya pernah mendengar laksa utara, laksa Penang, laksa Kedah, laksa Kuala ataupun laksa Johor. Namun, jarang kita mendengar tentang laksa Pahang. Pahang juga mempunyai hidangan laksa yang tersendiri. Mee laksa ini menggunakan tepung yang telah diuli dan kemudian dimasukkan ke dalam acuan bagi menghasilkan mee laksa. Ia direbus sebaik sahaja dikeluarkan dari acuan.
Kuah laksa Pahang tidak sama seperti laksa Penang agak pekat, lemak dan warna kekuningan. Bahan untuk menghasilkan kuah ini adalah ikan tenggiri, santan, kerisik dan beberapa bahan lain. Sayuran yang digunakan untuk dimakan bersama laksa ini adalah daun kaduk, daun selasih, timu dan taugeh. Ia turut dimakan bersama sambal cili dan sedikit belacan.