Sambal hitam Pahang adalah resipi turun temurun berasal dari negeri Pahang Darul Makmur yang amat popular dan digemari oleh kebanyakan penduduk negeri itu. Bagi mereka yang berasal dari negeri Pahang tengah, masakan sambal hitam merupakan menu kegemaran wajib selain dari gulai tempoyak, gulai asam rong dan lain-lain.
Pembuka selera ini begitu dikenali di Pahang tengah. Sambal ini sangat unik dan hanya boleh dijumpai di sekitar Jerantut, Kuala Lipis dan Raub. Bahan yang digunakan tidak terlalu banyak dan mudah didapati namun proses pembuatannya memakan masa yang lama .
Selain boleh dijadikan sebagai perisa dalam makanan, belimbing buluh turut diletak ke dalam sambal dan lazat dijamah dengan nasi putih, pulut lempeng dan sebagainya.
Hidangan Nasi Kebuli sangat terkenal di kawasan kampung sekitar Kampung Budu, Kuala Kenong, Jelai, Kampung Hulu, Tanjung Besar, Kuala Medang, Kampung Jeram Landak dan semua daerah di Kuala Lipis.
Nasi Kebuli ini merupakan makanan tradisi masyarakat Pahang khususnya daerah Lipis dan ia pernah dicatatkan pada Muzium Warisan Kuala Lipis. Hussin dari Kampung Kuala Kenong, Kuala Lipis adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Nasi Kebuli ini pada tahun 1944.
Asam rong atau asam rum merupakan makanan tradisional bagi masyarakat di daerah jerantut, Pahangdan begitu popular di sekitar beberapa perkampungan di dalam daerah ini seperti di kawasan perkampungan kecil iaitu di Kampung Ulu Tembeling, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Kuala Tahan dan sekitarnya. Kini asam rong mula dikenali hingga ke beberapa daerah dalam negeri Pahang yang lain seperti di Kuala Lipis, Maran, Raub dan Kuantan. Uniknya ialah asam rong ini diperbuat dari biji getah yang dikutip dari bawah pokok getah lalu diproses menjadi asam rong.
Negeri Pahang memang terkenal dengan makanan - makanan tradisional. Di setiap daerah mempunyai makanan tradisinya yang tersendiri. Antara makanan tradisional yang popular di negeri Pahang adalah seperti masak tempoyak ikan patin, sambal hitam, gulai asam rom, sambal petai tempoyak, gulai masak lemak siput sedut, pais tempoyak ikan patin / talapia,gulai keladi kemahang, gulai lemak pede/budu dan banyak lagi. Makanan- makanan ini lebih popular disekitar kawasan Pahang Barat Jerantut, Kuala Lipis, Temerloh, Raub dan kawasan sekitarnya atau kawasan tengah Negeri Pahang. Berikut adalah merupakan makanan tradisi Pahang yang popular :
sumber gambar : https://akuanakpahang.blogspot.com/
Halaman 2 dari 2